Rabu, 1 September 2010

MEMBINA GENERASI YANG IDEAL


Oleh
Elie Alvarez
T i d a k dinafikan bahawa para remaja dan pemuda yang ada pada hari ini adalah
merupakan pewaris negara atau generasi yang menjadi harapan untuk memimpin masyarakat
dan negara pada masa hadapan. Kita sering mendengar ungkapan “pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara”. Para remaja dan pemuda merupakan aset yang sangat berharga kepada
agama, bangsa dan negara. Oleh itu mereka perlu digembeling, dilatih dan dididik terutama
dengan ilmu pengetahuan dan akhlak mulia atau nilai-nilai murni, agar mereka tumbuh
menjadi generasi yang tangguh dan berwawasan sehingga terus berkemampuan membangun
dan memajukan negara pada masa akan datang.
Tokoh ilmuan Islam yang tersohor Imam Al-Ghazali pernah menegaskan bahawa “masa
depan sesuatu umat adalah berdasarkan kepada situasi generasi muda masyarakat tersebut”.
Sementara penyair Arab terkenal iaitu Muhammad Syauqi Bik pernah berkata: “Sungguh!
Hanya ditangan pemudalah terletak kejayaan umat, dan pada langkah merekalah hidup matinya
umat tersebut”.
S e s u ngguhnya membina dan mendidik suatu generasi sebenarnya adalah suatu
kewajipan bagi setiap manusia untuk melakukannya, supaya manusia yang terdidik itu akan
dapat mencapai sesuatu dengan apa yang kita harapkan.
K e wajipan mendidik ini secara mutlak memang harus dilakukan oleh orang tua atau
kedua ibu bapa sejak anaknya masih kecil sehinggalah ia dewasa. Pengabaian orang tua dalam
hal ini akan mengakibatkan suatu kesalahan dan kepincangan dalam kehidupan seseorang
anak di dunia ini, sehingga si anak akan merasakan kehausan ilmu yang sangat berhajatkan
kepada pendidikan. Dalam hal ini, Allah SWT mengingatkan menerusi firman-Nya bermaksud:
“Dan hendaklah engkau merasa takut, jika suatu hari nanti meninggalkan zuriat keturunan yang
dha’if (lemah), dan bimbangilah keadaan mereka. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada
Allah dan didiklah mereka dengan perkataan yang betul dan baik-baik”.(Surah Al-Nisa’: 9).
Keturunan yang lemah yang dimaksudkan dalam ayat tersebut dapat bermaksud lemah
dari segi ilmu, keimanan, akhlak dan sebagainya. Maka Allah sendiri menggesa supaya
generasi (anak-anak) yang akan kita tinggalkan dan bakal mewarisi negara, dapat dididik
dengan baik dan sempurna agar tumbuh menjadi generasi muslim sebenar, iaitu yang teguh
imannya, berbudi pekerti dan berakhlak luhur serta berkemampuan untuk menzahirkan
tamadun Islam yang berpaksikan amar makruf nahi mungkar.
D e w asa ini di mana-mana orang memperkatakan tentang kenakalan remaja dan
keruntuhan moral mereka, di mana para remaja atau pemuda sering melakukan pelbagai
perbuatan atau perlakuan yang tidak sesuai dengan ketentuan agama dan adat istiadat.
Sebenarnya masyarakat tidak harus mempersalahkan remaja seratus peratus lantaran
keruntuhan moral dan kenakalan mereka. Apa yang berlaku tidak sepenuhnya disebabkan
oleh mereka sendiri, tetapi sangat bergantung pula pada latar belakang ilmu
pengetahuan/pendidikan yang diperolehi dari ibu bapanya.
Dalam kehidupan hari ini, cabaran mendidik anak memang begitu hebat sekali. Sesuai
dengan keadaan dunia yang semakin pesat dan berkembang terutama bidang sains dan
teknologi, maka didikan terhadap anak pun perlu mengikut perkembangan sekarang. Suasana
hidup anak-anak sekarang mungkin jauh berlainan dengan suasana kehidupan ibu bapanya di
masa dahulu. Sebab itu Nabi s.a.w ada bersabda bermaksud: “Didiklah anak-anakmu, kerana
mereka dijadikan buat menghadapi zaman yang sama sekali berlainan dari zamanmu ini”.
Perlu difahami bahawa generasi ideal yang ingin dan perlu diwujudkan ialah generasi
yang memiliki ilmu pengetahuan/pendidikan dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan
sesuatu sesuai dengan apa yang ditentukan oleh Islam. Sebagai generasi muda muslim yang
ideal, haruslah memiliki keperibadian unggul, di mana dengan itu ia akan dapat memberi
manfaat dalam kehidupan ini, manakala segala tindakannya mampu dipertanggung jawabkan,
baik dengan sesama manusia mahupun Allah SWT sebagai penciptanya.
M emang merupakan satu tugas yang berat dan tidak ringan dalam usaha mendidik
dan melahirkan generasi yang ideal, namun segala bebanan yang dirasakan berat tadi akan
bertukar menjadi ringan dan mudah apabila setiap orang mempunyai kesungguhan dan
kemahuan yang kuat dalam melakukannya.
S e bagai agama yang suci dan unggul, Islam memang sejak mula dan lama dahulu
telah mengisyaratkan tentang keutamaan dan ketinggian ilmu. Sebab itu Islam menggesa,
baik anak mahupun setiap individu perlu dibekali dan membekali diri dengan ilmu
pengetahuan apalagi dalam menghadapi kehidupan yang mencabar dan semakin bersaing
seperti hari ini. Tanpa ilmu, seseorang bukan sahaja tidak dapat mencapai ketinggian, tetapi
akan banyak ketinggalan dari segi maklumat, pengetahuan, dan peluang. Ada tiga ilmu
pengetahuan yang sangat penting yang perlu ditanamkan ke dalam jiwa seseorang manusia
iaitu:-
1. Aqidah
Persoalan aqidah atau ketauhidan adalah ilmu yang wajib dipelajari dan dimiliki oleh
seseorang, kerana dengan aqidah yang betul, seseorang akan terselamat dari apa juga
ajaran yang sesat atau menyeleweng dari landasan Islam seperti yang banyak
bermunculan dewasa ini. Oleh itu para ibu bapa khususnya adalah berkewajipan
mendidik anak-anak mereka iaitu dengan menanamkan aqidah atau ketauhidan sejak
kecil ke dalam jiwa mereka secara mendasar dan mendalam, agar anak tersebut nanti
membesar dengan kemantapan aqidah yang benar sehingga menjadi benteng dari
terjebak dengan pujuk rayu syaitan yang menyesatkan dan tidak memperturutkan hawa
nafsu yang merosakkan dalam apa jua keadaan. Aqidah yang kuat sangat penting dalam
memperkukuhkan keyakinan seseorang terhadap penciptanya. Oleh itu penanaman
aqidah yang mantap perlu diyakini dan harus dijadikan sebagai modal dasar dalam
menghadapi perjuangan di atas muka bumi ini.
2. Syari��ah
Syari’ah adalah ilmu yang kedua penting yang perlu dimiliki oleh individu atau seseorang
generasi, di mana ilmu syari’ah ini mencakupi segala aturan-aturan syari’ah yang wajib
dilaksanakan dan yang harus ditinggalkan. Ilmu ini sangat mustahak dimiliki terutama
menyentuh persoalan ibadah, baik yang berbentuk mahdhah mahupun ghairu mahdhah serta
aplikasi dari seluruh ketentuan Islam.
A pa jua yang ditentukan Allah untuk dilaksanakan oleh manusia adalah sesuai dengan
fitrah atau kemampuan manusia itu sendiri, kerana manfaat dari pelaksanaan atau perbuatan
tersebut sebenarnya akan kembali semuanya kepada manusia. Sebab itu Allah SWT sekali-kali
tidak membebankan manusia dengan sesuatu bebanan yang tidak mampu dilaksanakan.
Perhatikan firman Allah bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai
dengan kesanggupannya”.(Surah Al-Baqarah : 286).
3. Akhlak
D asar ketiga yang perlu dan sangat penting dimiliki oleh seseorang generasi ideal ialah
mengenai akhlak atau moral. Sesungguhnya Islam sangat-sangat menitik beratkan soal akhlak
dalam usaha memberi didikan dan membentuk generasi ideal. Oleh kerana akhlak itu
terbahagi dua, iaitu akhlak yang baik dan akhlak yang buruk, maka akhlak yang perlu disemai
atau ditanam dalam jiwa generasi ideal sudah tentulah akhlaqul karimah (akhlak mulia). Ini
kerana orang yang berakhlak mulia akan terlihat padanya sebagai seorang insan yang baik.
Penerapan nilai-nilai murni dan akhlak mulia ini sebenarnya amat perlu dalam kehidupan
masyarakat dan bernegara, demi untuk mewujudkan kehidupan yang bersopan dan harmoni.
Kerana tanpa memiliki kemuliaan akhlak, seseorang itu akan mudah memperturutkan hawa
nafsu untuk melakukan perbuatan atau perlakuan negative yang ditegah oleh agama. Jadi,
manusia yang ideal tentunya mereka yang sentiasa menghiasi diri dengan akhlak karimah
sehingga dapat menghindarkan diri dari segala perbuatan atau akhlak tercela.
K e t inggian dan kemajuan serta baiknya seseorang manusia itu sangat bergantung
kepada ilmu pengetahuan, akhlak dan ketaqwaannya kepada Allah SWT. Rasulullah s.a.w yang
merupakan qudwah atau model utama telah menampilkan keluhuran akhlaknya sepanjang
baginda menyampaikan perintah Allah SWT kepada umatnya sehingga pemikiran bangsa Arab
yang salah, sedang tenggelam dalam keadaan jahiliyah dan berakhlak keji, telah mampu
diubah oleh baginda kepada fikiran yang sebenarnya, menjadi umat yang beradab dan
berpekerti mulia. Dengan kehebatan akhlak baginda dan lain-lain keistimewaan yang
dipersiapkan Allah, maka dalam tempoh yang singkat sahaja, baginda mampu mengislamkan
ramai masyarakat Arab dan patuh kepada segala peraturan yang ditetapkan. Maka akhlak
mulia Nabi s.a.w ini perlu sangat kiranya dijiwai oleh generasi yang ideal, kerana Rasulullah
S.A.W. sahajalah satu-satunya insan yang paling baik dicontohi lantaran baginda menjadi
pilihan Allah SWT sendiri. Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri
Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu…”.(Surah al-Ahzab : 21).
D emikianlah tiga ilmu yang merupakan modal dasar yang setiap generasi muslim wajar
memilikinya secara mendasar. Supaya terwujudnya apa yang diharapka, maka tiga modal
dasar tadi perlulah disemai dan dipupuk secara berterusan agar ia dapat berkembang. Dengan
pengertian lain, ketiga-tiga unsur tersebut perlulah pula diamalkan secara bersepadu dan
menyeluruh dengan tidak memisah-misahkannya antara satu sama lain, sehingga dengan
demikian, diharap akan terjelmalah generasi ideal yang berkeperibadian muslim.
Akhirnya, perlulah diinsafi bahawa zaman remaja dan pemuda adalah sangat penting dan
berharga. Allah sendiri menaruh perhatian kepada golongan muda, yakni tentunya pemuda
yang baik peribadinya, sebagaimana tersebut dalam sebuah hadith bermaksud:
“Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum kepada pemuda/remaja (termasuk pemudi) yang
tidak ada (mengalami) keruntuhan akhlak/moral pada dirinya”.(HR. Ahmad & Abu Ya’la).
Renungilah sebuah syair dari Imam Asy-Syafie berikut ini bermaksud: “Demi Allah, hidup
pemuda dan pemudi (adalah) dengan ilmu dan taqwa, maka apabila tiada kedua-duanya,
sungguh tiada bererti hidupnya”..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan